kloning dalam agama islam
Terlebih dahulu, kami ingin mempersembahkan setinggi-tinggi penghargaan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah dan tutor bagi subjek Moral & Etika kami, Cik Lydia Chong Yuk Fong, kerana memberi peluang kepada kami untuk melaksanakan projek yang amat istimewa ini. Setelah kami menyelesaikan projek ini, kami memdapat tahu bahawa isu pengklonan memang sering mengisi ruang akhbar dengan kerapnya dan sentiasa meniti bibir orang ramai. Isu yang hangat tersebut menerima banyak kritikan oleh banyak negara termasuklah Malaysia . Selepas kajian diperlaksanakan, kami mendapat tahu isu pengklonan ini secara sedalam-dalamnya.
Seterusnya, kami juga ingin berterima kasih kepada responden-responden yang melibatkan diri dalam soal selidik kami. Dengan maklumat pelajar-pelajar KTAR ini, dapatlah kami membuat kesimpulan ke atas pemikiran mereka ke atas isu pengklonan.
Akhirnya sekali, kami ingin memberi penghargaan sesama ahli kumpulan kami atas kerjasama yang amat sempurna untuk menyelesaikan projek ini. Tanpa titik peluh seseorang daripada kami, kajian tidak akan dijalankan dengan lancar dan projek ini tidak akan berjaya disempurnakan.
Pengenalan: Etika Bio
“Etika” bermaksud pengajian moral; “Bio” adalah singkatan bagi perkataan biologi. Etika bio merupakan pengajian moral dalam bidang biologi yang melibatkan benda-benda yang bernyawa.
Apabila benda-benda hidup dikaji, isu-isu moral akan dibangkiti sama ada kajian tersebut patut dilaksanakan atau sebaliknya. Skop yang perlu dipertimbangkan adalah sangat luas dan pengajian moral adalah perlu supaya ia tidaklah bertentangan dengan norma masyarakat dan undang-undang sesebuah negara. Tanggungjawab hendaklah dipikul atas sesebuah tindakan yang dibuat.
Secara terbuka, pengajian bidang biologi ini biasanya diaplikasikan ke atas manusia, tumbuhan dan juga haiwan. Dalam pengajian biologi ke atas manusia yang melibatkan isu moral antaranya ialah pengklonan, bayi tabung uji, pemindahan dan pendermaan organ, isu penggunaan sel stem. Manakala, pengajian ke atas tumbuhan dan haiwan adalah seperti dalam kejuruteraan genetik, di mana gen-gen tumbuhan atau haiwan dicampurkan dengan gen daripada spesies-spesies yang sama untuk menghasilkan spesies yang lebih baik.
Dalam kerja kursus ini, bayi tabung uji dan isu penggunaan sel stem akan diperbincangkan. Topik utama yang hendak kami bahaskan ialah isu pengklonan manusia.
Bayi Tabung Uji
1. Definisi
Bayi tabung uji merupakan bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan hasil daripada persenyawaan ovumnya dengan sperma suaminya di luar tubuh perempuan itu.
(Dirujuk daripada Kamus Jururawat BI-BM, Fajar Bakti)
2. Latar Belakang / Sejarah
Kaedah kelahiran bayi tabung uji melalui teknik Persenyawaan Luar Rahim (IVF) berjaya dilakukan pada mulanya ke atas haiwan. Orang pertama bertanggungjawab melaksanakannya adalah Dr. Shang di Boston, US pada tahun 1959 yang telah berjaya dengan teknik IVF ke atas arnab (menggunakan sperma dan telur arnab lalu dimasukkan ke dalam rahim arnab).
Kejayaan seterusnya dilakukan ke atas tikus pada 1968. Tikus telah dilahirkan dengan menggunakan teknik yang sama.
Pakar pertama melakukan kaedah IVF ini ke atas manusia adalah Dr. Robert Edwards pada tahun 1965 dan usaha yang membawa kehamilan pertama berjaya dilakukan pada tahun 1976. Malangnya, kehamilan tidak normal berlaku iaitu kehamilan ektopik (embrio tertempel pada tiub Fallopio atau salur rahim) dan pembedahan terpaksa dilakukan bagi memotong tiub berkenaan.
Pada 11.47pm, 25 Julai 1978 di Oldham General Hospital, England, lahirnya bayi tabung uji pertama dalam sejarah dunia, Louise Brown atas usaha (Prof) Dr. Robert Edwards di samping Dr Patrick Steptoe. Kejayaan tersebut terhasil selepas 100 percubaan menemui kegagalan.
Selepas detik kelahiran Louise Brown, pelbagai teknik baru berkaitan IVF dan bayi tabung uji diperkenalkan dan lahir pusat-pusat serta klinik yang menawarkan teknik ini kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Dan sejak itu, lebih sejuta kelahiran melalui IVF telah direkodkan di hampir setiap negara seluruh dunia.
(Dipetik daripada Program Thaqafah Online Perubatan 2005,
Ahmad Shuib Yahaya)
3. Teknik Bayi Tabung Uji
· Persenyawaan Luar Rahim (IVF - In Vitro Fertilization)
IVF adalah asas bagi Teknologi Pembiakan Secara asasnya, teori IVF adalah persenyawaan berlaku dalam vitro (kaca). Sperma lelaki dan ovum (telur) perempuan dicampurkan dalam satu piring makmal dalam persekitaran yang sesuai. Setelah disenyawakan, embrio yang terhasil akan dipindahkan ke dalam rahim.
IVF adalah salah satu pilihan bagi pasangan yang menghadapi pelbagai masalah kesuburan. Teknik ini membolehkan para doktor melaksanakan proses yang sepatutnya berlaku atas kelamin.
· Pemindahan Gamet Ke Dalam Salur Rahim (GIFT - Gamete Intrafallopian Transfer)
Gamet adalah sperma lelaki atau telur perempuan. Dalam proses GIFT, sperma dan telur akan dicampur dan kemudian disuntik ke dalam salur rahim (tiub Fallopio). Selepas dipindahkan, gamet-gamet akan tersenyawa seperti proses normal dalam tubuh badan tanpa bantuan reproduksi. Selepas persenyawaan, embrio akan bergerak ke dalam rahim seperti biasa dan begitu seterusnya kehamilan normal berlaku.
4. Fakta-fakta Bayi Tabung Uji di Malaysia
· Kemudahan Rawatan Reproduksi di Malaysia
Rawatan IVF & GIFT tidak ditawarkan di hospital-hospital dan klinik kesihatan kerajaan. Hanya Hospital besar Kuala Lumpur yang kini sedang dalam proses menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut. Begitu juga dengan hospital-hospital universiti kecuali Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Namun, pemeriksaan kesuburan dan rawatan permanian beradas (IUIintrauterine insemination) disediakan hampir di setiap hospital besar negeri. Rawatan IVF dan GIFT hanya ditawarkan di beberapa klinik dan pusat perubatan swasta. Antara pusat terkemuka adalah Pusat Fertiliti Damansara. Hospital kerajaan tidak menawarkan rawatan reproduksi seperti IVF dan GIFT dengan alasan bahawa “penyakit” ketidak suburan masih tidak dianggap gejala penyakit yang perlu diberi keutamaan berbanding penyakit lain yang lebih berbahaya seperti sakit jantung, diabetes dan lain-lain.
· Pakar dan Kejayaan
Terdapat ramai pakar perbidanan dan sakit puan (O&G) di Malaysia, tetapi bilangan mereka yang mempunyai sub-kepakaran dalam bidang reproduksi masih kurang. Sudah ada beberapa kes kejayaan IVF yang dilaporkan di HUKM dan di pusat-pusat perubatan swasta. Tetapi, secara keseluruhan, kadar kejayaan di Malaysia masih tidak terlalu tinggi.
· Peruntukan Undang-undang dan Penerimaan Masyarakat
Undang-undang Malaysia membenarkan rawatan reproduksi tetapi mesti kepada pasangan suami-isteri dan mereka disahkan menghidap masalah ketidaksuburan (mandul). Kaedah rawatan reproduksi ini masih belum meluas di Malaysia jika berbanding dengan negara-negara maju. Tetapi, rawatan-rawatan ini semakin diketahui dan diterima. Kebanyakan golongan masyarakat kini akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan anak dengan apa jua pilihan yang ada.
· Kos Rawatan
Di HUKM, kos untuk sekali rawatan adalah lebih kurang RM 7000 hingga RM8000. Kos adalah lebih tinggi di klinik-klinik dan pusat perubatan swasta.
(Dipetik daripada Program Thaqafah Online Perubatan 2005,
Ahmad Shuib Yahaya)
5. Tujuh Cara Penyemaian Benih Dalam Tabung Uji
I. Disemaikan antara benih si suami dengan telur yang diambil dari seorang perempuan yang bukan isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
II. Disemaikan antara benih seorang lelaki (bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
III. Disemaikan benih si suami dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim seorang perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung dengannya.
IV. Disemaikan antara benih seorang lelaki (asing) dengan telur perempuan (asing) dan kemudian dimasukkan ke dalam rahim si isteri.
V. Disemaikan benih dengan telur dari sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri keduanya.
VI. Diambil benih dari si suami dan telur si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri.
VII. Diambil benih si suami kemudian disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai semaian dari dalam.
6. Hujah-hujah Menyokong Bayi Tabung Uji
· Menangani masalah kemandulan dan kegagalan dalam penghamilan.
Kepada pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melahirkan zuriat, mereka boleh melahirkan anak mereka dengan menggunakan kaedah bayi tabung uji. Ini menggembirakan pasangan suami isteri ini.
· Menghasilkan persenyawaan yang baik serta melahirkan anak yang mempunyai gen-gen yang lebih sihat.
Melalui kaedah tabung uji, anak yang dilahirkan dikatakan mempunyai gen-gen yang lebih sihat. Anak yang dilahirkan adalah bebas daripada sebarang kecacatan fizikal.
7. Hujah-hujah Menentang Bayi Tabung Uji
· Kesihatan badan
Rawatan memerlukan banyak ujian darah, pelalian dan pembedahan. Penggunaan hormon dalam penggalak ovulasi juga menyebabkan kelesuan dan kekejangan. Keadaan ini memberi tekanan yang tinggi dari segi keperluan fizikal.
· Masalah sosial meningkat
Kaedah bayi tabung uji memberi ruang kepada orang untuk memperdagangkan benih. Ini membawa kepada berlakunya perniagaan haram yang melibatan penjualan benih untuk mengaut keuntungan.
· Pertikaian isu ibu tumpang
Kaedah ibu tumpang melibatkan wanita yang hendak melahirkan anak dan wanita yang “menyewa” rahim. Ini menyebabkan kekeliruan keturunan anak yang dilahirkan. Siapakah yang akan menjadi ibu yang sah kepada anak tersebut? Selain itu, ini juga akan mengakibatkan perebutan anak tersebut di antara penderma telur dan wanita yang melahirkan anak dengan menggunakan telur penderma.
Penggunaan Sel Stem
1. Definisi
Sel stem merupakan sel induk yang membentuk pelbagai jenis sel seperti sel saraf, sel kulit, sel darah dan semua jenis sel. Terapi sel stem ialah sekumpulan prosedur baru dan teknologi yang memperkenalkan sel yang berkeupayaan untuk menjana atau menggantikan sel-sel yang berpenyakit dengan sel-sel baru yang sihat dan boleh berfungsi.
2. Proses Penggunaan Sel Stem
Hari ini, pengambilan sel stem dapat dilakukan dengan cara yang mudah dan tidak lagi menyakitkan. Pertama melalui darah tali pusat bayi yang baru lahir. Kaedah ini dapat dilakukan tanpa memerlukan peralatan yang canggih. Si ibu akan dibekalkan dengan sebuah beg yang dilengkapi dengan bekas penyimpan anti pembekuan darah bagi mengumpul darah tali pusat yang segar.
Doktor yang menyambut hanya perlu mengambil darah segar dalam tali pusat bayi sebelum uri keluar. Apabila uri telah keluar daripada rahim ibu, darah tali pusat akan beku dan tidak boleh digunakan lagi. Seterusnya, sel stem, sel darah merah dan plasma akan dipisahkan dalam persekitaran yang bersih bagi mengelakkan pencemaran. Ini dilakukan dengan melakukan pemisahan dalam saluran yang disambung untuk mengelakkan sel stem dari terdedah kepada udara yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran.
Bagi mengambil sel stem daripada orang dewasa, beberapa suntikan diberikan bagi merangsang pengeluaran sel stem dalam darah. Selepas bebrapa jam, sel stem akan diambil seperti menderma darah dan proses ini tidak menyakitkan. Sel stem dari tali pusat bayi dan dewasa kemudian disimpan dalam nitrogen cecair sehingga diperlukan. Sel stem yang disimpan dalam tabung berkenaan akan diletakkan alamat dan direkodkan bagi kemudahan. Ia boleh digunakan walaupun hingga 100 tahun asalkan diletakkan dalam cecair nitrogen.
3. Hujah-hujah Menyokong Penggunaan Sel Stem
· Mengubati kebanyakan penyakit.
Melalui penggunaan sel stem, kebanyak penyakit dapat mencari penyelesaian untuk merawatinya. Misalnya sakit jantung, Parkinson, penyakit genetik dan penyakit lumpuh. Sel-sel yang rosak akan digantikan dengan sel-sel yang baru dan sihat.
4. Hujah-hujah Menentang Penggunaan Sel Stem
· Merupakan salah satu proses dalam pengklonan manusia.
Dalam proses pengklonan manusia, teknik penggunaan sel stem digunakan. Pengklonan manusia sering dipertikaikan di kalangan orang ramai. Kami akan memperbincangkan pengklonan manusia kemudian.
· Kekeliruan identiti
Apabila penerima sel stem menerima sel stem yang berlainan dari segi kandungan genetiknya. Sel ini yang kemudiannya membahagi dengan banyak akan menjadi sebahagian daripada tisu atau organ pada individu berkenaan. Ini boleh menyebabkan masalah kekeliruan identiti apabila tisu berkenaan kemudiannya diuji bagi mengenalpasti latar belakang genetik atau keturunan individu berkenaan.
Pengklonan
1. Definisi Pengklonan
Perkataan klon berasal daripada Bahasa Yunani, “klwn” yang bermaksud tunas. Klon, atau tunas, adalah replika atau pendua (fotostat) daripada sesuatu organisme. Pengklonan adalah satu proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan ialah sel matang mengandungi kod genetik, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA), yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa, yang dikeluarkan nukleusnya.
(Jabatan Mufti Negeri Selangor, Buletin At-Taqwa)
Pengklonan bermaksud penghasilan anak yang sama dengan induk dari segi genetik. Contoh klon semula jadi ialah organisma yang membiak secara aseks. Walau bagaimanapun, klon buatan dapat dihasilkan dengan teknik pengklonan, iaitu proses makmal yang menghasilkan induk yang mempunyai unsure genetik yang sama dengan induk penderma. Klon haiwan yang sudah matang dicipta melalui proses pemindahan nuklear sel soma.
Ini adalah salah satu proses pembiakan yang biasa di kalangan tumbuh-tumbuhan dan sel-sel mikroorganisma, yang juga dikenali sebagai pertunasan. Pengklonan dilakukan secara meluas khususnya dalam bidang pertanian melalui pengkulturan tisu, contohnya getah klon, durian malah kelapa sawit klon. Sekarang, proses pengklonan boleh diperlakukan sesama manusia.
2. Latar Belakang / Sejarah
Sebenarnya, teknik pengklonan telah dijalankan berpuluh-puluh tahun yang lalu. Banyak ahli sains yang menyoalkan bahawa adakah pengklonan haiwan berlaku pada 1950-an. Adalah dipercayai bahawa species yang julung-julung kali dijalankan eksperimen pada masa itu ialah berudu, iaitu anak katak pada tahun 1952. Akan tetapi, tiada bukti yang mengesahkannya kerana eksperimen tersebut tidak terbuka kepada orang awam.
Pada tahun 1963, seorang embriologi Cina yang bernama Tong Dizhou, telah mengklonkan seekor ikan. Keputusan pengklonan tersebut telah diterbitkan dalam journal sains Cina, yang tidak diperterjemahkan dalam Bahasa Inggeris.
Pada tahun 1997, mamalia yang pertama telah diperklonkan. Seekor bebiri, bernama Dolly, telah berjaya diperklonkan di Institusi *Dolly dan anak pertamanya, Bonnie
Pada tahun-tahun yang seterusnya, pelbagai species berjaya diperklonkan. Antaranya termasuklah kuda, kucing dan monyet.
Malah, pada tahun 2002, seorang bayi manusia yang bernama Eve, telah dilahirkan dengan teknik pengklonan, oleh Dr Brigitte Boisselier di America Syarikat. Kelahiran bayi itu, katanya, bukan saja menggembirakan ibu bapa bayi terbabit malah memberi harapan kepada pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak. Eve dikatakan diklon daripada ibunya, seorang warga Amerika Syarikat berusia 31 tahun. Pengklonan Eve dilakukan selepas wanita itu dan suaminya gagal mendapat anak disebabkan suaminya mandul.
Walaupun ramai yang mempertikaikan kesahihan dakwaan saintis aliens ini (saintis terbabit percaya manusia dijadikan oleh makhluk asing atau aliens), kelahiran Eve sebenarnya menandakan bermulanya satu era baru dalam kelahiran manusia. Kelahiran pertama seorang bayi yang tidak mengikut hukum fitrah, tidak menerusi percampuran lelaki dan perempuan, persenyawaan air mani dan telur, sebaliknya dicambah melalui mana-mana sel badan manusia untuk menghasilkan penduaan.
(Dipetik daripada Wikipedia, The Free Encyclopedia)
3. Teknik Pengklonan
· Pengklonan Janin / Embrio
Pada hakikatnya, kaedah pengklonan janin atau embrio telah bertahun-tahun digunakan ke atas haiwan ternakan bagi menghasilkan ternakan yang lebih kuat bakanya. Eksperimen juga pernah dijalankan ke atas janin manusia dengan menggunakan kaedah ini. Menurut para saintis pengklonan janin amat penting kerana beberapa sebab. Antaranya, ia dapat membantu meningkatkan pengetahuan manusia tentang pembiakan sel kanser dan lain-lain penyakit genetic seperti penyakit 'Parkinson' dan 'cystic fibrosis', yang membahagi pada kadar yang serupa dengan pembiakan sel-sel janin. Dengan adanya kaedah pembiakan sel-sel janin. Dengan adanya kaedah pengklonan janin ini, saintis tidak lagi perlu bergantung kepada janin-janin yang diambil dari klinik-klinik kesuburan untuk melakukan uji kaji. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan janin-janin asal.
· Pengklonan dengan Teknik Pemindahan Nukleus
Kaedah pengklonan jenis kedua ini agak sensasi kerana sebelum tahun 1997 apabila saintis mengumunkan tentang kaedah yang digunakan bagi mencipta seekor kambing dinamakan Dolly, belum pernah seekor mamalia dilahirkan hasil dari penggunaan teknik tersebut. Kaedah pengklonan inilah hangat diperkatakan dan menimbulkan reaksi negatif apabila dicadangkan agar digunakan bagi menghasilkan manusia.
(Jabatan Mufti Negeri Selangor, Buletin At-Taqwa)
4. Jenis Pengklonan
Saintis telah membahagi dua kaedah yang dijanjikan oleh pengklonan DNA dewasa melalui teknik pemindahan nukleus iaitu:
· Pengklonan Reproduktif
Pengklonan mewujudkan seorang insan yang baru, yang mempunyai DNA yang sama dengan penderma nukleus. Pengklonan dikatakan memberi kepuasan yang amat besar kepada pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melahirkan cahaya mata.
· Pengklonan Teraputik
a) Bagi memperolehi 'stem cell' yang akan membantu pertumbuhan sel baru;
b) Bagi mencipta organ-organ penting
c) Membantu mengubati pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan air tulang sum-sum;
d) Membantu meningkatkan pengetahuan tentang penyakit-penyakit genetik.
(Dipetik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Isu Pengklonan Dari Sudut Syariah)
5. Proses pengklonan
Dalam proses pengklonan manusia, sel yang diambil dari tubuh seseorang telah mengandungi 46 unit kromosom, sememangnya mengandungi seluruh sifat-sifat induknya. Dengan demikian anak yang dihasilkan dari proses pengklonan ini akan mempunyai hanya ciri-ciri dari orang yang menjadi sumber pengambilan inti sel tubuh. Anak tersebut merupakan keturunan yang mempunyai kod genetik yang sama seperti induknya. Segalanya ini seolah-olah seperti suatu proses fotokopi warna iaitu hasil cetakannya serupa dengan gambar asalnya ada perbezaan sedikitpun. Proses persenyawaan secara tabii tidak dapat berlaku kecuali dengan adanya lelaki dan perempuan serta sel-sel kelamin. Sedangkan proses pengklonan manusia dapat berlangsung dengan adanya lelaki atau tanpa lelaki dan ini terjadi pada sel-sel tubuh, bukan sel-sel kelamin.
(Berita Harian: Disediakan Oleh: Azly)
Pengklonan adalah satu proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan ialah sel maang mengandungi kod genetik, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA), yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa, yang dikeluarkan nukleusnya.
DNA yang digunakan ini boleh jadi daripada lelaki mahupun wanita. Ovum yang dimasukkan DNA tadi akan dirangsangkan untuk menggalakkan percantuman dan seterusnya pembahagian sel. Ia kemudian akan dimasukkan ke dalam rahim wanita.
Proses kehamilan dan kelahiran yang dilalui adalah sama seperti proses kehamilan dan kelahiran bagi manusia biasa.
Jika dilihat proses untuk menghasilkan manusia klon ini, kita dapati bahawa ia tidak memerlukan kehadiran sel sperma. Sebaliknya, yang diperlukan hanya sel ovum dan DNA daripada sel lain.
(Institut Kefahaman Islam Malaysia,
Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh)
6. Perbezaan antara Pembiakan Seks dan Pembiakan Tanpa Seks
Pembiakan seks

Dalam proses pembiakan seks, bayi mendapat setengah ginnya daripada ibunya (dalam telurnya) dan setengah lagi daripada bapanya (dalam spermanya).

Pembiakan tanpa seks (Pengklonan)
Pengklonan ialah satu bentuk pembiakan tanpa seks. Kesemua gin klon bayi diperoleh daripada badan sel (sel kulit, sel rambut, sel otot dan sebagainya) seseorang individu.
Bahagian A: Teori Moral Sekular
Pengenalan
Muktakhir ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa isu pengklonan manusia sering menjadi topik pertikaian hangat orang ramai. Terdapat sekumpulan orang yang berpendapat bahawa manusia patut dibenarkan untuk diklonkan; manakala banyak lagi pihak yang keras menentang. Sebenarnya, wajarkah pengklonan manusia dilakukan? Sehingga hari ini, kita tidak dapat memperoleh jawapan yang pasti kerana memang sukar untuk kita mempertimbangkan isu sedemikian. Marilah kita mengkaji isu pengklonan manusia dari sudut teori moral sekular. Antara teori-teori moral yang akan diperbincangkan termasuk:
1. Teori Teleleogikal
2. Teori Deontologikal
3. Teori Keperibadian Sosial
4. Teori Kemoralan Sosial
1. Teori Teleleogikal
Berlandaskan Teori Teleleogikal, kemoralan sesebuah tindakan banyak melihat kepada kesan yang dibawa olehnya. Sesuatu tindakan dianggap betul sekiranya ia mendatangkan kesan baik yang maksima dan sebaliknya dikatakan salah sekiranya ia mendatangkan kesan buruk yang maksima. Maka, adakah pengklonan manusia perbuatan yang bermoral atau tidak? Bagi perbincangan ini, kita perlu melihat daripada 2 aliran, iaitu Egoisme Etika dan Utilitarianisme.
Aliran Egoisme Etika
Aliran Egoisme Etika mementingkan kesan yang baik untuk diri pelaku itu sendiri. Jika pengklonan itu mendatangkan kesan baik kepada orang yang melakukan pengklonan itu, tindakannya dianggap wajar.
Pengklonan dikatakan banyak memanfaatkan pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melahirkan anak (disebabkan oleh si suami yang mandul atau si isteri yang tidak boleh mengandung). Melalui pengklonan, mereka diberi harapan yang baru untuk memperoleh anak mereka yang tersendiri. Mereka mendapat kepuasan yang amat besar selepas melakukan sesuatu yang pada awalnya mustahil. Bukti yang amat ketara ialah klon bayi yang lahir pada tahun 2002 di Amerika Syarikat. Kegembiraan yang dialami oleh ibu bapanya memang tidak dapat disukat selepas kelahiran bayi klon itu. Terdapat juga kes-kes kehilangan anak oleh ibu bapa, sama ada disebabkan oleh kemalangan atau penyakit. Penjelasan yang sama boleh dihujah dalam situasi ini. Melalui pengklonan, mereka boleh “menghidupkan semula” anak mereka dengan mewujudkan insan yang seiras dengan anak mereka yang telah meninggal dunia. Kebahagiaan yang dialami oleh mereka memang tidak boleh kita bayangkan.
Selain itu, setiap insan juga dapat faedah yang jelas daripada pengklonan. Selepas eksperimen dijalankan, pengklonan dipercayai dapat mengubati penyakit-penyakit seperti Parkinson dan diabetes. Pengklonan mencipta organ-organ penting dan sum-sum tulang yang sesuai bagi mengubati kebanyakan penyakit, umpamanya kanser hati, kanser peparu dan sakit jantung. Jesteru itu, daripada pengklonan, setiap manusia sebenarnya dapat melanjutkan usia mereka. Manusia akan menikmati kebahagiaan yang amat besar kerana ajal mereka telah ditangguhkan.
Di samping itu, pelabur-pelabur yang melaburkan wang dalam bidang pengklonan akan memperoleh keuntungan yang amat lumayan. Disebabkan bidang pengklonan merupakan suatu bidang yang sangat baru di dunia ini, bidang ini dijangka akan memberi keuntungan yang sangat lumayan kepada diri pelabur. Pelabur-pelabur ini akan mendapat keseronokan yang amat besar.
Dalam situasi-situasi di atas, pengklonan manusia adalah disokong oleh Aliran Egoisme Etika kerana mendatangkan kesan baik yang maksima kepada diri individu-individu yang berkenaan. Walaubagaimanapun, Aliran Egoisme Etika menentang pengklonan manusia dalam situasi-situasi yang berlainan.
Manusia sentiasa salah faham bahawa manusia yang diklonkan boleh dikawal dengan sepenuhnya. Hakikatnya tidak. Kita tidak boleh mengawal tingkah lakunya. Klon tidak dikongkong oleh sesiapa pun dan boleh melakukan apa jua perkara sesuka hatinya. Oleh sebab itu, klon itu mungkin melakukan jenayah yang serius. Kekeliruan identiti berlaku di mana kedua-dua induk dan klonnya berkongsi cap jari dan DNA yang sama. Apabila klon itu melakukan jenayah, induknya akan menjadi mangsa kepada kes-kes jenayah yang dilakukan oleh klonnya. Ini merupakan kesan buruk yang amat jelas kepada induk yang tidak berdosa itu.
Selain itu, kajian menunjukkan bahawa peluang untuk berjayanya pengklonan itu adalah amat tipis. Ia perlu menjalankan berpuluh-puluh kali percubaan sebelum kejayaan pengklonan itu. Prosesnya melibatkan kos-kos penyelidikan dan eksperimen yang mahal. Bagi orang yang ingin mengklonkan dirinya, mereka perlu membiayai kos-kos yang tinggi ini. Pengklonan dikatakan tidak berbaloi kepada orang yang melakukan pengklonan atas sebab ini.
Aliran Utilitarianisme
Aliran Utilitarianisme mementingkan kesan baik untuk orang ramai. Jika pengklonan itu mendatangkan kesan baik kepada orang ramai, tindakan itu dianggap wajar.
Pengklonan dikatakan tindakan yang wajar kerana melalui pengklonan, species-species yang hampir pupus boleh dipelihara, umpamanya panda di negara China yang merupakan khazanah negara. Panda-panda boleh dielakkan daripada pemupusan dengan mengklonkan spesies ini, agar orang ramai masih dapat melihat dan menikmati species ini.
Selain itu, baka-baka tumbuhan yang lebih berkualiti boleh dihasilkan melalui pengklonan. Ini dikatakan adalah kesan yang baik kerana orang ramai dapat meningkat taraf hidupnya dengan memakan makanan yang baik dari segi kesihatan mereka. Dengan pemakanan yang lebih bernutrien, orang ramai akan lebih cenderung untuk mencegah daripada ancaman penyakit-penyakit.
Seperti mana yang diketahui, apabila seseorang manusia memerlukan pemindahan organ-organ dan sum-sum tulang, memang sukar untuk mencari organ-organ dan sum-sum tulang yang sesuai. Pengklonan merupakan penyelesaian bagi masalah ini kerana pengklonan boleh mencipta organ-organ atau sum-sum tulang yang bersesuaian kepada orang yang memerlukannya. Dengan kata lain, pengklonan dapat memanjangkan hayat hidup seseorang dengan menggantikan organ yang baru kepadanya.
Dalam situasi-situasi di atas, pengklonan manusia adalah disokong oleh Aliran Utilitarianisme kerana mendatangkan kesan baik yang maksima kepada orang ramai. Akan tetapi, pada masa yang sama, Aliran Utilitarianisme menentang pengklonan manusia dalam situasi-situasi yang berlainan.
Pengklonan manusia akan mengakibatkan sistem manusia menjadi kucar-kacir. Pada asalnya, kelahiran seorang manusia hanya dilaksanakan daripada persenyawaan antara sel sperma dengan sel ovum. Dengan teknik pengklonan, sesiapa pun dapat melahirkan anak sesuka hati mereka. Satu pasangan lesbian atau seorang wanita boleh melahirkan anak. Seorang lelaki pun mampu memperoleh anak dengan “menyewa” rahim wanita. Ini akan menyebabkan populasi manusia tidak dapat terkawal. Jesteru itu, ini akan membawa mudarat yang besar kepada semaksima masyarakat.
2. Teori Deontologikal
Berdasarkan Teori Deontologikal, ia bertentangan dengan Teori Teleleogikal yang diperbincangkan tadi. Ia melihat kepada tindakan itu sendiri. Kemoralan sesuatu tindakan bergantung kepada baik buruk tindakan itu. Teori ini melihat kepada 3 bahagian, iaitu Prinsip Kewajipan, Prinsip Kewajiban Prima Facie, dan Eksistensialisme.
Prinsip Kewajipan
Prinsip Kewajipan menyatakan bahawa sesuatu tindakan itu dianggap baik sekiranya pelaku itu mempunyai tekad yang baik semasa menjalankan tindakan itu. Jadi, prinsip ini menyokong pengklonan manusia jika tindakan itu berdasarkan niat yang betul dan tidak memperalatkan orang lain.
Matlamat utama pengklonan dijalankan adalah semata-mata untuk kebaikan manusia, iaitu mencari penawar bagi penyakit-penyakit dan memuaskan keinginan pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melahirkan zuriat. Asalkan pengklonan dilakukan dengan motif yang bermakna ini, tidak kiralah sama ada tindakan ini melanggar peraturan masyarakat atau membawa kemudaratan atau tidak, ia dikatakan perbuatan yang wajar. Dengan tekad sedemikian, pengklonan adalah disokong.
Tetapi, apabila difikir dari sudut lain, klon-klon menjadi peralatan manusia sebagai penderma organ-organ. Pengklonan sebenarnya memperalatkan klon-klon untuk mendapatkan organ-organ. Ini menentang Prinsip Kewajipan yang sepatutnya tidak memperalatkan orang lain.
Prinsip Kewajipan Prima Facie
Prinsip Kewajipan Prima Facie menyamai prinsip kewajiban, kecuali ia menganggap bahawa aspek kekecualian perlu diambil kira. Teori ini menyokong pengklonan manusia sekiranya ada alasan yang serius untuk mewajarkan tindakannya.
Sehingga hari ini, memang tidak dapat kita mencari kaedah untuk mengubati sesetengah penyakit. Selain itu, memang sukar untuk kita mencari organ-organ atau sum-sum tulang yang sesuai bagi golongan yang memerlukannya. Memandangkan pengklonan manusia adalah satu-satunya kaedah untuk mengatasi masalah ini, pengklonan merupakan satu tindakan yang betul. Alasan yang cukup ketara telah dibuktikan di sini, iaitu semata-mata untuk manfaat manusia. Sehinggalah pada suatu hari nanti, kaedah baru telah ditemui bagi mengubati penyakit-penyakit ini atau mencipta organ-organ dan sum-sum tulang ini, prinsip ini tidaklah menyokong pengklonan manusia sekiranya kaedah baru itu dinilai sebagai tindakan yang lebih berperikemanusiaan ditemui. Prinsip ini tetap menyokong pengklonan manusia jika kaedah baru itu dikatakan suatu tindakan yang kurang bermoral.
Eksistentialisme
Teori eksistentialisme menyatakan bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk memilih tanpa dipaksa, asalkan seseorang itu bertanggungjawab atas tindakannya. Maka, prinsip ini menyokong pengklonan manusia jika keputusannya adalah tulen berdasarkan konsep kewujudan sah.
Manusia mempunyai hak memilih untuk menjalankan pengklonan, dalam keadaan yang tiada ugutan dan paksaan. Selepas menilai dengan telitinya bahawa pengklonan sebagai satu tindakan yang patut dilakukan, pengklonan itu dikatakan wajar dilakukan. Selepas pengklonan dilakukan, manusia akan bertanggungjawab atas apa yang diakibatkan oleh pengklonan ini. Misalnya, manusia bersedia untuk menerima kritikan orang ramai selepas pengklonan dilakukan.
Teori eksistentialisme mementingkan kewujudan sah, iaitu sesuatu perbuatan dikatakan bermoral sekiranya ia dilakukan dalam keadaan tanpa ugutan dan paksaan. Maka, pengklonan dianggap tidak wajar jika pelaku itu diugut atau dipaksa untuk melakukannya. Misalnya, ahli sains diugut supaya menjalankan pengklonan untuk seseorang. Seseorang itu mengacukan pistol ke kepalanya atau menculik ahli keluarganya. Dalam situasi ini, pengklonan tidak disokong oleh teori ini kerana tidak mempunyai kewujudan yang tulen dan sah.
3. Teori Kemoralan Sosial
Berlandaskan Teori Kemoralan Sosial, kemoralan sesuatu tindakan melihat kepada sama ada sesuatu tindakan itu mematuhi atau menentang undang-undang dan norma masyarakat. Pengklonan dikatakan bermoral sekiranya ia mematuhi undang-undang dan norma masyarakat.
Dalam kebanyakan negara, terutamanya negara Islam, adalah tidak dibenarkan untuk menjalankan pengklonan manusia kerana pengklonan itu menentang kuat terhadap agama mereka. Tetapi, kebelakangan ini, terdapat juga negara-negara yang menerima pengklonan. Umpamanya, kebelakangan ini, para pengundi di neraga Australia membuat keputusan bahawa pengklonan manusia itu dibenarkan dijalankan di Australia . Sekiranya pengklonan itu dilakukan di negara lain yang menerima pengklonan seperti negara Australia , maka tindakan itu dianggap bermoral.
Seperti yang diketahui dalam bidang sains dan teknologi, manusia dicipta daripada proses persenyawaan sel sperma dengan sel ovum, penghamilan ibunya, lalu kelahirannya. Ini memang adalah tradisi masyarakat yang tidak boleh diubah. Akan tetapi, pengklonan dikatakan telah mengubah corak kehidupan manusia selama ini. Manusia bisa dihasilkan melalui pengklonan. Manusia boleh mencipta manusia, sementara itu, adalah peraturan masyarakat, bahawa manusia hanya dicipta Tuhan. Pengklonan dianggap adalah sesuatu tindakan yang melanggar tradisi norma masyarakat yang diwarisi turun-temurun ini.
4. Teori Keperibadian Moral
Berdasarkan Teori Keperibadian Moral, sesuatu tindakan itu dikatakan bermoral asalkan tindakan itu mengutamakan kesederhanaan dan tidak melampaui batas. Pengklonan itu wajar dilakukan asalkan tindakan ini tidak bersifat keterlaluan.
Memang tidak boleh dinafikan, kemajuan sains dan teknologi yang pesat amat mendatangkan manfaat yang banyak kepada masyarakat ini. Pengklonan dipercayai dapat menghasilkan penawar bagi sesetengah penyakit yang tidak dapat diubati. Pengklonan dikatakan banyak menggembirakan pasangan suami isteri yang tidak mampu melahirkan anak. Akan tetapi, pada masa yang sama, pengklonan membabitkan masuk campurnya kuasa Tuhan. Tuhan sahajalah yang boleh mencipta seorang insan. Manusia sekarang dikatakan memiliki kuasa Tuhan untuk mencipta manusia. Perbuatan ini dikatakan perbuatan yang melampaui batas hukum semula jadi. Maka, teori ini tidak menyokong pengklonan manusia.
Bahagian B: Pandangan Agama
Agama Islam
Dalam al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menerangkan dengan jelas mengenai proses pembiakan manusia yang memerlukan kehadiran sel sperma dan sel ovum.
Bayi yang dilahirkan melalui proses biasa, akan mempunyai ciri genetik unik, iaitu gabungan ciri genetik daripada ibu dan bapanya. Jika dilihat kepada bayi klon, ia tidak mempunyai ciri genetik yang unik, sebaliknya mempunyai genetik yang sama dengan penyumbang DNAnya . Dalam kata lain, bayi klon adalah replika genetik kepada penyumbang DNA itu. Lazimnya, hanya kembar seiras yang mempunyai ciri genetik sama. Namun, dengan adanya teknologi pengklonan manusia ini, membolehkan klon manusia mempunyai ciri genetik yang sama dengan ‘induk’ yang menyumbangkan DNA.
Persoalannya, apakah hubungan di antara klon dengan induknya? Adakah ia sama seperti hubungan anak dengan bapa? Atau, adakah kerana ciri genetik kedua-duanya adalah sama, maka mereka adalah kembar?
Oleh itu, dari pandangan agama Islam, Islam memandang berat kekeliruan ini kerana ia akan membawa kepada masalah penentuan nasab. Firman Allah bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa juga yang dikehendaki-Nya). (Surah Fussilat, ayat 54). (Dipetik daripada artikel - Implikasi Pengklonan ke atas Fitrah Manusia, Shaikh Mohd. Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh, Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia). Dalam ayat tersebut, jelaslah diberitahu hanyalah Tuhan yang mempunyai kuasa untuk mencipta manusia bukan manusia mencipta manusia.
Perbuatan mengklon manusia dilihat sebagai usaha manusia untuk bertindak luar daripada peraturan yang ditentukan Tuhan iaitu kelahiran manusia atau keturunannya melalui perkahwinan. Perbuatan pengklonan akan melahirkan satu generasi manusia yang cuba merendah-rendahkan kejadian manusia yang dimuliakan Tuhan.
Pengklonan akan melahirkan generasi manusia yang boleh mencipta manusia dan akan melahirkan manusia yang akan menafikan kekuasaan Tuhan. Perbuatan ini menyebabkan manusia berasa dirinya mempunyai kuasa dan mampu untuk mencipta serta menentukan kejadian manusia lain menurut kehendak dirinya. Ini akan menyeret manusia kepada kesesatan akidah kerana mereka beranggapan bahawa manusia juga boleh mencipta manusia sama seperti kekuasaan Tuhan mencipta kejadian alam ini.
Selain itu, Islam sangat mementingkan soal pertalian keluarga. Islam sangat menekankan perlunya institusi keluarga itu dipelihara. Dalam konteks ini, teknologi pengklonan manusia dilihat mampu meruntuhkan institusi keluarga yang ditekankan oleh Islam. Hal ini kerana dengan teknologi pengklonan manusia, peranan yang dimainkan oleh lelaki menjadi tidak lagi penting, sebaliknya wanita yang tidak berkahwin juga boleh mendapat anak. Ini tentu akan meningkatkan jumlah ibu tunggal dalam satu-satu masyarakat.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya, zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah an-Nisaa, ayat 1). (Dipetik daripada artikel – Pengklonan manusia lebih banyak bawa mudarat, Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, fellow kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia).
Oleh itu, dari pandangan agama Islam, kesan yang dibawa oleh teknologi pengklonan manusia lebih banyak menyebabkan kemudaratan daripada kemanfaatan. Atas sebab inilah, Majlis Fatwa Kebangsaan, pada 2002, telah membuat keputusan bahawa pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah diharamkan kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah SWT. (Dipetik daripada artikel – Isu Pengklonan Dari Sudut Syiarah, Pengarah Bahagian Perkhidmatan ICT, Pro Jakim).
Ini kerana Islam adalah satu agama yang memelihara kemaslahatan (kebaikan) ummahnya. Sekiranya, sesuatu itu bertentangan dengan fitrah dan tidak memenuhi maslahah, sebaliknya menyebabkan kehancuran, sudah tentu Islam tidak mengharuskan penggunaannya.
Agama Buddha
Ajaran agama ini yang dipenuhi dengan kasih sayang mengharam penganutnya membunuh segala benda yang bernyawa termasuk manusia, binatang dan tumbuhan. Agama ini menyebarkan ajaran tentang karma, semua perbuatan sama ada salah atau baik akan diambil kira oleh kuasa alam. Oleh itu, ajaran ini menasihat penganutnya memelihara dan menjaga nyawa sehingga mencapai Nirwana.
Oleh itu, dalam kes pengklonan manusia ini, kesan yang dibawa lebih banyak menyebabkan kemudaratan daripada kemanfaatan telah menentang dengan ajaran karma yang menegas perbuatan baik ini kerana pengklonan manusia boleh mengancam kesihatan ibu dan anak yang diklonkan. Menurut laporan akhbar - The Independent, pengalaman yang diperoleh melalui kajian pengklonan haiwan menunjukkan, dalam kes tertentu di mana janin dalam proses membesar, ia biasanya terlalu besar dan sekali gus mendedahkan ibu kepada bahaya ketika melahirkannya dan ia juga boleh menyebabkan anak yang dilahirkan mati. (Dipetik daripada Berita Harian, Ahli Sains Desak Pengklonan Manusia Diharam, September 2003). Dengan jelasnya, ajaran agama ini menentang perbuatan ini kerana agama ini mengutamakan kasih sayang dan tidak akan menggalak penganutnya untuk membunuh segala benda yang mempunyai nyawa.
Dalam konsep karma, penganut Buddhisme dinasihati agar hidup secara bermoral supaya mendapat karma yang baik dengan mematuhi Panca Sila (Lima Rukun Moral). “ Jangan Membunuh” merupakan satu nilai yang terdapat dalam Panca Sila ini. Secara tidak langsungnya, terdapat penyelidikan menunjukkan pengklonan manusia mengancam kesihatan ibu dan anak yang diklon serta terdapat jumlah yang tinggi janin dijangkiti penyakit dan pengguguran di kalangan janin baru lahir terhadap kajian haiwan telah menentang dengan konsep karma.
Agama Kristian
Menurut ajaran asas Jesus Christ yang berkaitan rapat dengan kehidupan beretika ialah Rukun 10 (Ten Commandments) yang dicatatkan dalam buku “Exodus” dalam Perjanjian Lama Kitab Injil (Old Testament). Salah satu rukun adalah jangan membunuh dan jangan berzina. Perbuatan pengklonan manusia ini yang akan mengancam kesihatan ibu dan anak yang diklon serta menyebabkan bayi yang dilahirkan mati telah bertentangan dengan ajaran Krstian yang berkonsep menghargai nyawa seseorang.
Pengklonan juga membuatkan seseorang wanita tidak memerlukan lelaki dan seorang isteri tidak memerlukan suami, kerana wujudnya perasaan dia boleh melahirkan anak tanpa perlu kepada perkahwinan dan pembentukan keluarga. Jika ini berlaku keluarga yang akan terbentuk pasti berbeza daripada keluarga yang telah wujud selama ini. Dengan itu akan lahirlah satu keadaan hidup masyarakat yang luar daripada fitrah manusia dan alam. Dan yang paling ditakuti, kaum lelaki tidak lagi diperlukan kerana pembiakan tidak lagi kepada sperma. Perhubungan seksual dan homoseksual akan dijadikan ‘bahan permainan’ hanya untuk memenuhi nafsu manusia dan ini adalah bertentangan dengan ajaran Kristian – Rukun 10 – tidak berzina.
Selain itu, menurut agama Kristian dalam “Holy Bible, New International Version, Genesis Chapter 2, Adam and Eve” tercatat bahawa: “Tuhan mencipta manusia mengikut rupanya, dengan imej Tuhan diciptanya satu lagi dia. Tuhan telah mencipta leleki dan perempuan.” Selain itu, Tuhan berdoa dan berkata kepada ciptaannya, “Jadilah isitimewa dan tambahkan bilangan kamu untuk memenuhi bumi ini.” Oleh itu, dengan jelasnya, ayat suci ini memperkatakan hanyalah Tuhan yang mencipta manusia, bukan manusia mencipta manusia. Tuhan telah mencipta setiap manusia dengan keistimewaan masing-masing. Keistimewaan ini tidak sama antara setiap individu dengan individu lain. Sedangkan dalam pengklonan, orang yang diklonkan itu mempunyai DNA yang sama dengan penderma nukleus itu.
Agama Hindu
Agama Hindu melarang penganutnya melakukan sesuatu yang tidak menghormati nyawa orang lain. Ajarannya menekankan Ahimsa, iaitu kasih sayang yang menyatakan bahawa tidak boleh melakukan kekejaman terhadap sebarang makhluk hidup, tidak mengira manusia atau binatang. Oleh itu, perbuatan pengklonan ini yang menghadapi risiko kegagalan lebih tinggi dari kejayaan mungkin akan menyebabkan lebih banyak orang atau haiwan menjadi korban semasa menjalankan teknologi klon. Hal ini adalah bertentangan dengan ajaran Hinduisme ini.
Bahagian C: Soal Selidik
Soal selidik kami telah dijalankan pada 11 haribulan Julai hingga 16 haribulan Julai. Kami telah menyebarkan sebanyak 30 set soal selidik kepada orang ramai, antaranya 16 orang responden adalah perempuan dan 14 orang responden adalah lelaki. Sasaran soal selidik kami adalah sesiapa yang berusia dalam lingkungan antara usia 18 hingga 35 tahun, tidak mengira bangsa mereka. Terdapat 21 orang responden yang berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun dan 9 orang responden yang berusia lebih daripada 25 tahun. Sebanyak 21 orang responden yang memegang kepercayaan kepada agama Buddha dan 6 orang responden kepercayaan kepada agama Kristian, manakala terdapat 3 orang responden yang tiada memegang kepada kepercayaan agama.
Tujuan kami menjalankan soal selidik ini adalah untuk mengkaji pengetahuan dan pandangan masyarakat terhadap tajuk yang kami ujikan iaitu Etika Bio – Pengklonan Manusia.

Soalan pertama yang kami kemukakan adalah tentang maksud pengklonan. Berdasarkan carta pai di atas, 87 peratus iaitu 26 orang daripada 30 orang yang menjawab soalan ini mengetahui apa itu pengklonan dan hanya 4 orang daipada jumlah 30 orang responden yang tidak tahu apa itu pengklonan. Dalam muka surat terakhir soal selidik kami, kami ada memberi definisi pengklonan bagi responden yang tidak memahami apa itu pengklonan.

Soalan kedua yang kami kemukakan adalah kemudaratan yang diakibatkan oleh pengklonan. Terdapat 11 orang (37%) daripada 30 orang responden menganggap “memain-mainkan nyawa manusia” adalah kemudaratan yang lebih penting yang diakibatkan oleh pengklonan, manakala ada 9 orang responden (30%) memandang “sistem manusia akan menjadi kucar-kacir” adalah kemuratan yang kedua penting yang diakibatkan oleh pengklonan kerana kalau teknik pengklonan manusia ini disahkan oleh kerajaan maka seseorang yang bujang atau homoseksual juga mampu ‘melahirkan’ anak dengan adanya teknik pengklonan. Akibatnya akan menyebabkan masyarakat kita menjadi kucar-kacir. Bagi kemudaratan “kadar kejayaan yang tipis tetapi melibatkan kos penyelidikan dan eksperimen yang amat tinggi” ada 18 orang responden (60%) yang mengatakan bahawa kemudaratan ini yang diakibatkan oleh pengklonan adalah kurang penting kerana tidak mengira apa eksperimen yang dijalankan oleh saintis tentu kos kajian itu tinggi dan kejayaan pun tidak semestinya dijamin.

Soalan ketiga adalah pertanyaan tentang adakah mereka akan menyokong pengklonan dalam situasi yang tertentu seperti:
Ø pengklonan dapat memelihara spesies yang hampir pupus,
Ø pengklonan memperkembangkan bidang sains dan teknologi
Ø pengklonan dapat menggalakkan bidang perubatan dari segi mewujudkan penawar bagi penyakit-penyakit seperti sakit jantung, diabates, Parkinson dan mewujudkan sumsum tulang yang sesuai bagi pesakit yang memerlukannya.
Hasil daripada kajian selidik ini telah menunjukkan sebanyak 28 orang responden menyokong dengan pengklonan yang dapat memelihara spesies yang hampir pupus. Ini mungkin disebabkan fiona dan fauna di bumi kita semakin menjadi kurang dan teknik pengklonan ini pula boleh memelihara spesies ini serta menghasilkan ciptaan yan lebih bermutu, mudah, murah serta dapat meningkatkan pengeluaran tanaman negara contohnya beras perang, tomato, cili dan sebagainya. Manakala, terdapat 83 peratus iaitu sebanyak 25 orang responden yang menyokong dengan pernyataan teknik pengklonan dapat memperkembangkan bidang sains dan teknologi. Hal ini kerana, kecanggihan sains dan teknologi telah membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan yang lebih selesa dan juga memacu negara kita ke arah pembangunan, oleh itu kehadirannya tidak dapat dinafikan. Namun, terdapat 5 orang responden yang tidak menyokong pernyataan ini. Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembagunan masyarakat sejagat. Tetapi, ia juga mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar san sosial kerana kadang-kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Manakala, responden yang menyokong pernyataan pengklonan dapat menggalakkan bidang perubatan merupakan ketiga tinggi, iaitu 77 peratus. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, pada 2002, penggunaan ‘stem cell’ bagi tujuan perubatan an kajian, yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syara. Oleh itu, dari segi agama Islam, pengklonan yang dilakukan kepada sel manusia yang boleh dijadikan bahan untuk mengubati penyakit adalah digalakkan selagi ia tidak menyebabkan berlaku percampuran keturunan
Bahagian D:Kajian Kes
Doktor Zhivago telah menubuhkan sebuah syarikat pengklonan manusia “Clonotec” dengan modal berbayar sebanyak USD100 juta. Beliau mendapat sokongan daripada beberapa pelabur kerana dijangkakan industri pengklonan manusia menjadi sebuah industri yang lumayan pada masa hadapan.
Pandangan Kami
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengklonan manusia merupakan sebuah industri yang belum diterokai pada masa kini. Industri tersebut dipercayai dapat memberi keuntungan yang sangat lumayan pada masa hadapan.
Dalam kes di atas, niat Doktor Zhivago adalah amat ketara sekali iaitu untuk mengaut keuntungan yang banyak. Jadi, wajarlah tindakan Doktor Zhivago ini untuk melakukan pengklonan manusia kerana industri ini membolehkan Doktor Zhivago dan pelabur-pelabur menjadi kaya-raya.
Selain itu, tujuan penubuhan syarikat “Clonotec” adalah untuk memuaskan keinginan pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melahirkan anak. Doktor Zhivago juga berhasrat untuk “mencipta” organ-organ baru untuk menggantikan organ-organ yang rosak bagi pesakit yang memerlukannya, agar ajal mereka dapat ditangguhkan. Beliau mempunyai tekad yang baik untuk mengubati pesakit-pesakit ini. Asalkan adanya motif yang bermakna ini, beliau bertindak wajar.
Kajian menunjukkan bahawa pengklonan manusia akan membantu kita untuk mencari penawar bagi kebanyakan penyakit yang kini tidak dapat diubati atau mempunyai peluang yang tipis untuk sembuh. Pengklonan manusia sememangnya mendatangkan banyak manfaat dalam bidang perubatan. Para ahli sains mempercayai bahawa kemajuan bidang perubatan akan berkembang dengan lebih pesat sekiranya kajian pengklonan diteruskan. Penawar yang lebih berkesan besar kemungkinan akan ditemui melalui pengklonan. Tindakan Doktor Zhivago ini merupakan langkah pertama yang membolehkan bidang perubatan berkembang dengan maju dan akhirnya memanfaatkan orang ramai.
Sesungguhpun tindakan Doktor Zhivago ini mendatangkan banyak kesan-kesan yang positif kepada kita, pada masa yang sama, ia juga melibatkan banyak akibat-akibat yang negatif. Antaranya ialah sistem manusia akan menjadi kucar-kacir. Sesiapa yang menginginkan anak boleh melakukan pengklonan bila-bila masa. Ini akan menyebabkan populasi manusia tidak dapat terkawal. Jesteru itu, ini akan membawa mudarat yang besar kepada semaksima masyarakat.
Berlandaskan ajaran kebanyakan agama, umpamanya Islam, Kristian dan Buddha, Tuhan sahaja yang boleh mencipta manusia. Manusia dilahirkan dalam dunia ini adalah kerana kekuasaan Tuhan semata-mata. Tindakan Doktor Zhivago ini seolah-olah mencampur tangan akan kuasa Tuhan yang istimewa ini. Mengikut ajaran-ajaran agama, manusia tidak mempunyai hak untuk mempunyai kuasa Tuhan. Beliau seharusnya bersikap sederhana dan tidak melampaui batas. Tindakan sedemikian dianggap adalah sesuatu tindakan yang keterlaluan yang melanggar tradisi ajaran agama dan norma masyarakat yang diwarisi turun-temurun ini.
Jika difikir dari sudut yang lain, tindakan Doktor Zhivago ini sebenarnya memperalatkan klon-klon untuk mendapatkan organ-organ dan sum-sum tulang mereka. Kononnya manusia berpendapat pengklonan adalah sangat bermanfaat kepada orang lain. Manusia tidak sedar bahawa tindakan ini adalah zalim terhadap klon-klon. Mereka mengklonkan diri mereka hanya demi organ-organ dan sum-sum tulang mereka semata-mata. Mereke langsung tidak peduli akan kehidupan klon-klon itu. Klon-klon ini dikatakan adalah satu peralatan demi kepentingan diri manusia sendiri sahaja.
Sehinggalah hari ini, kontroversi pengklonan manusia masih berterusan. Pertikaian ini akan tidak berhabis-habisan kerana memang sukar untuk membuat keputusan sama ada menyokong atau menentang. Setakat ini, kebanyakan negara dan agama menentang pengklonan manusia secara keras. Pengklonan manusia masih tidak boleh diterima oleh masyarakat pada hari ini.
Pada pendapat kami, pengklonan patut diharamkan selama-lamanya. Kami berpandangan bahawa kemudaratan yang dibawa oleh pengklonan manusia adalah lebih serius daripada kebaikan yang ada. Kami berpendapat bahawa sistem manusia yang akan menjadi kucar-kacir adalah kemudaratan utama yang dibawa oleh pengklonan. Masalah- masalah seperti kekeliruan identiti, populasi manusia yang tidak terkawal dan campur tangan akan kuasa Tuhan akan timbul. Meskipun pengklonan dikatakan mengembangkan bidang perubatan dan mendatangkan kesan baik yang lain, tetapi haruslah manusia sederhana dan tidak keterlaluan.
Kami berpendapat bahawa tindakan Doktor Zhivago ini adalah tidak bermoral dan tidak wajar.
Bibliografi
· www.muftiselangor.gov.my/E-Book/Koleksi At-Taqwa
· www.jphpk.gov.my/Malay/Jan03
· www.kompas.com/ver1/Kesehatan/0611/17/084322.htm
· Buku Teks – Moral & Etika

Comments
Post a Comment